Sebenarnya sudah lama saya memasang niat untuk membicarakan isu ini. Tetapi atas dasar kekangan masa dan kesibukan diri, membataskan niat saya untuk mengutarakan sedikit pandangan. Alhamdulilah, dikesempatan yang ada ini, terlaksana jua niat saya. Semoga perkongsian kecil ini dapat memberi manfaat kita bersama.
Isu ini walaupun tampak lapuk tetapi ia penting bagi mengubah mentaliti dan persepsi "orang kita".Di sini, saya ingin mengutarakan isu bahasa. Saya melihat "orang kita" atau masyarakat kita mudah melenting apabila rakan-rakan kita melakukan kesilapan yang tidak disengajakan. Kesilapan sebutan dalam sesuatu bahasa atau loghat adalah perkara biasa bagi seorang penutur yang baru belajar dan wajar ditegur. Namun, teguran itu tidak perlulah diselitkan dengan unsur penghinaan, caci-maki dan kemarahan.
Lihat sahaja kalau rakan kita yang tersalah sebut sesuatu perkataan dalam Bahasa Inggeris. Pasti akan ada suara-suara nakal dan tertawa atas kesilapan rakan kita tadi. Tak kurang juga yang mengatakan, "TAK PANDAI SPEAKING BI, TAK PAYAHLAH ADA HATI NAK CAKAP BI". Suara-suara begini biasa kita dengar dalam kalangan "orang kita" tanpa mengenal usia sama ada remaja mahupun orang dewasa.Lihat sahaja sewaktu dulu Siti Nurhaliza cuba bertutur menyanyi lagu Bahasa Inggeris. Bagaimana reaksi dan komen "orang kita"? Pastinya suara-suara nakal seperti yang di atas antara yang tersenarai . Walaupun saya bukanlah peminat Siti Nurhaliza yang mengikuti perkembangannya secara berterusan, tetapi saya kagum dengan semangat mempelajari sesuatu. Kini, kita dapat lihat, Bahasa Inggerisnya mula menampakkan peningkatan. Kalau tak bermula dari kesilapan, bagaimana kita ingin memperbetul dan memperbaiki kesilapan?
Usahlah kita mematahkan semangat rakan-rakan kita yang ingin belajar dan terus belajar. Bagi yang telah mahir, berilah teguran secara berhikmah dan tidak menyentuh sensitiviti rakan-rakan kita yang belum begitu mahir. Sebaliknya berilah mereka galakan dan kata-kata semangat untuk mereka terus belajar dan membaiki kesilapan mereka.
Itu baru sahaja isu bahasa. Kalau isu bahasa yang "orang kita" selalu pertikaikan. Bagaimana pula dengan isu sebutan huruf dalam bacaan al-Quran? Sudah betul dan mantapkah mahraj kita? Sudah sempurnakah tawjid kita? Adakah kita pasti, bacaan kita sempurna sehingga menepati maksudnya? Ramai "orang kita" yang terlepas pandang tentang isu ini. Kesilapan membaca ayat-ayat al-Quran akan dilaknat. Tetapi itu bukan noktah untuk kita dari terus membaca al-Quran. Sebaliknya kita perlu berusaha membaiki bacaan kita dari hari ke hari.
Dewasa ini, tiada guru mengaji atau guru peribadi bukan alasan untuk kita tidak belajar. Banyak rancangan-rancangan yang berunsurkan tawjid dan memperbetulkan bacaan al-Quran seperti "Mari Mengaji" diterbitkan diradio dan juga televisyen. Ini merupakan salah satu wadah untuk kita memperbaiki bacaan kita. Pilihan ada di tangan kita untuk menonton "kartun" atau rancangan bermanfaat.
Oleh itu, kita disuruh untuk belajar dan terus belajar. "Kesilapan adalah proses biasa ketika belajar, tetapi pastikan kita tidak mengulangi kesilapan yang sama".